Showing posts with label Artikel. Show all posts
Showing posts with label Artikel. Show all posts

Wednesday, January 12, 2011

Membertulkan Pandangan Terhadap Sahabat: Pendirian Muawiyah Di Sebalik Perang Siffin

Pendirian Muawiyah Di Sebalik Perang Siffin
Oleh
Hafiz Firdaus Abdullah

Dalam artikel Zainab bin Ali Saksi Peristiwa Karbala (Majalah i  Jun 2005), disebut bahawa:

“Zainab juga telah menyaksikan pertempuran demi pertempuran yang terpaksa ditempoh oleh ayahnya dalam menentang kaum pemberontak yang dipimpin oleh Muawiyah  bin Abu Sufyan, seperti pertempuran di Siffin…”

Di atas adalah juga sejarah versi Syi‘ah yang amat masyhur. Perlu diteliti semula, benarkah Muawiyah bin Abi Sufyan radhiallahu 'anh memimpin kaum pemberontak ke atas Amirul Mukminin Ali bin Abi Thalib radhiallahu 'anh? Sebelum menjawab persoalan ini, ingin saya jelaskan terlebih dahulu keutamaan Muawiyah. Ini kerana sejak dari bangku sekolah, kebanyakan di kalangan kita mengenali beliau sebagai seorang sahabat yang zalim, pendusta dan pelbagai lagi sifat yang negatif. Pengenalan bentuk negatif ini begitu meluas sehingga jarang-jarang kita menemui ibubapa yang menamakan anaknya “Muawiyah” berbanding dengan nama para sahabat yang lain.

Keutamaan Muawiyah bin Abi Sufyan.
Muawiyah bin Abi Sufyan adalah salah seorang sahabat Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang mulia. Beliau dilahirkan 15 tahun sebelum peristiwa hijrah. Mengikut pendapat yang lebih tepat, beliau memeluk Islam selepas Perjanjian Hudaibiyah, iaitu antara tahun 6 hingga 8 hijrah. [Maulana M. Asri Yusoff – Sayyidina Mu’awiyah: Khalifah Rashid Yang Teraniaya (Pustaka Bisyaarah, Kubang Kerian, 2004), ms. 9-10. Dalam sebuah hadis yang dinilai sahih oleh Syaikh al-Albani rahimahullah, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah mendoakan Muawiyah:

“Ya Allah! Jadikanlah beliau orang yang memimpin kepada hidayah dan berikanlah kepada beliau hidayah.” [Silsilah al-Ahadits al-Shahihah (Maktabah al-Ma‘arif, Riyadh, 1995), hadis no: 1969]


Al-Imam al-Bukhari meriwayatkan di dalam kitab Shahihnya – hadis no: 2924 bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

“Pasukan pertama daripada kalangan umatku yang berperang di laut, telah dipastikan bagi mereka (tempat di syurga).”

Fakta sejarah mencatitkan bahawa armada laut yang pertama bagi umat Islam dipimpin oleh Muawiyah pada zaman pemerintahan Amirul Mukminin Usman ibn Affan radhiallahu 'anh.

Di dalam Shahih Muslim – hadis no: 2501, Abu Sufyan pernah meminta kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam agar Muawiyah menjadi jurutulis baginda. Rasulullah memperkenankan permintaan ini. Sejak itu Muawiyah menjadi jurutulis al-Qur’an dan surat-surat Rasulullah, sekali gus menjadi orang yang dipercayai di sisi baginda.

Muawiyah juga merupakan seorang sahabat yang dihormati oleh para sahabat yang lain. Beliau diangkat menjadi gabenor di Syam semasa zaman pemerintahan Amirul Mukminin Umar dan Usman. Pada zaman pemerintahan beliau sendiri, pernah seorang mengadu kepada Ibn Abbas radhiallahu 'anh bahawa Muawiyah melaksanakan solat witir dengan hanya satu rakaat. Ibn Abbas menjawab:

“(Biarkan), sesungguhnya dia seorang yang faqih (faham agama).”
[Shahih al-Bukhari – hadis no: 3765]

Demikianlah beberapa keutamaan Muawiyah yang sempat dinyatakan dalam tulisan ini. Dapat dikenali bahawa beliau bukanlah sebarangan orang tetapi merupakan salah seorang sahabat Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang mulia.

Pendirian Muawiyah tentang kekhalifahan Ali.
Apabila Amirul Mukminin Usman ibn Affan radhiallahu 'anh dibunuh, Ali bin Abi Thalib diangkat menjadi khalifah. Beliau dibai‘ah oleh sebahagian umat Islam. Wujud sebahagian lain yang tidak membai‘ah beliau, di antaranya ialah Muawiyah. Hal ini berlaku bukan kerana Muawiyah menafikan jawatan khalifah daripada Ali, akan tetapi Muawiyah mengkehendaki Ali terlebih dahulu menjatuhkan hukuman hudud ke atas para pembunuh Usman. Al-Imam Ibn Hazm rahimahullah menerangkan hakikat ini:

“Dan tidaklah Muawiyah mengingkari sedikit jua akan keutamaan Ali dan hak beliau untuk menjadi khalifah. Akan tetapi pada ijtihad beliau, perlu didahulukan penangkapan ke atas para pembakar api fitnah daripada kalangan para pembunuh Usman radhiallahu 'anh daripada urusan bai‘ah. Dan beliau juga berpendapat dirinya paling berhak untuk menuntut darah Usman.” [al-Fishal, jld. 3, ms. 85]

Di sisi Amirul Mukminin Ali bin Abi Thalib, beliau bukan sengaja membiarkan para pembunuh Usman berkeliaran secara bebas. Malah beliau mengetahui bahawa mereka itu menyamar diri dan berselindung di kalangan umat Islam serta berpura-pura membai‘ah beliau. Akan tetapi dalam suasana umat Islam yang masih berpecah belah, adalah sukar untuk beliau mengambil apa-apa tindakan. Sebaliknya jika umat Islam bersatu, mudah baginya untuk mengambil tindakan ke atas para pembunuh Usman.

Berlakunya Perang Siffin.
Setelah Perang Jamal berakhir, Amirul Mukminin Ali bin Abi Thalib menghantar utusan kepada Muawiyah meminta beliau berbai‘ah kepada dirinya. Muawiyah menolak, sebaliknya mengulangi tuntutannya agar Amirul Mukminin Ali mengambil tindakan ke atas para pembunuh Usman. Jika tidak, Muawiyah sendiri yang akan mengambil tindakan. Mendengar jawapan yang sedemikian, Amirul Mukminin Ali menyiapkan pasukannya dan mula bergerak ke arah Syam. Senario ini menyebabkan Muawiyah juga mempersiapkan pasukannya dan mula bergerak ke arah Kufah. Akhirnya kedua-dua pasukan ini bertemu di satu tempat yang bernama Siffin dan bermulalah peperangan yang dikenali dengan Perang Siffin.

Para pengkaji berbeza pendapat, kenapakah Amirul Mukminin Ali mempersiapkan pasukannya ke arah Syam? Persoalan ini masih memerlukan penelitian yang mendalam dengan mengambil kira faktor-faktor luaran dan dalaman yang wujud pada ketika itu. Amirul Mukminin Ali tidak akan mengambil apa-apa tindakan melainkan ia adalah untuk kemaslahatan umat Islam seluruhnya. Hal ini mengingatkan sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang meramalkan berlakunya Perang Siffin:

“Tidak akan datang Hari Kiamat sehingga dua kumpulan yang besar saling berperang. Berlaku antara kedua-duanya pembunuhan yang dahsyat padahal seruan kedua-dua kumpulan tersebut adalah satu (yakni kebaikan Islam dan umatnya).”
[Shahih Muslim – hadis no: 157]

Muawiyah memberontak kepada Ali?
Kini penelitian kita sampai kepada persoalan: Benarkah Muawiyah memimpin pemberontakan ke atas Amirul Mukminin Ali? Jawapannya tidak. Ini kerana jika dikatakan seseorang itu memberontak kepada pemimpinnya, nescaya pemberontak itulah yang bergerak ke arah pemimpin. Akan tetapi dalam kes Muawiyah, beliau tidak bergerak ke arah Amirul Mukminin Ali. Sekalipun Muawiyah enggan membai‘ah Ali, beliau hanya berdiam diri di Syam tanpa memulakan apa-apa tindakan ketenteraan. Syaikh Muhib al-Din al-Khatib rahimahullah (1389H) menjelaskan:

“……lalu Ali berangkat meninggalkan Kufah dan menuju di permulaan jalan yang menuju ke arah Syam dari Iraq. Ali mengisyaratkan supaya orang ramai tetap tinggal di Kufah dan mengirimkan yang selainnya ke Syam. Sampai berita kepada Muawiyah bahawa Ali telah mempersiapkan pasukannya dan Ali sendiri keluar untuk memerangi beliau. Maka para pembesar Syam mengisyaratkan kepada Muawiyah agar dia sendiri turut keluar (untuk berhadapan dengan pasukan Ali). Maka orang-orang Syam berangkat menuju ke Sungai Furat melalui Siffin dan Ali maju bersama pasukannya menuju Siffin juga.

……Seandainya Ali tidak mempersiapkan pasukan yang bergerak dari Kufah nescaya Muawiyah tidak akan bergerak (dari Syam).” [catitan notakaki kepada al-‘Awashim min al-Qawashim, ms. 166 & 168]

Dalam persoalan ini terdapat sebuah hadis yang lazim dijadikan alasan melabel Muawiyah sebagai pemberontak. Hadis tersebut diriwayatkan oleh al-Imam Muslim di dalam kitab Shahihnya – hadis no: 2916 di mana Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda kepada ‘Ammar bin Yasir radhiallahu 'anh:

“Engkau akan dibunuh oleh kelompok pemberontak.”

Di dalam Perang Siffin, ‘Ammar berada di dalam pasukan Amirul Mukminin Ali dan beliau terbunuh dalam peperangan tersebut. Lalu Muawiyah dilabel sebagai pemberontak kerana pasukan beliaulah yang memerangi Ali sehingga menyebabkan ‘Ammar terbunuh.

Sebenarnya tidak tepat menggunakan hadis di atas untuk melabel Muawiyah sebagai pemberontak. Sebabnya:

1.      Sejak awal para sahabat mengetahui bahawa ‘Ammar bin Yasir berada di dalam pasukan Amirul Mukminin Ali. Dengan itu, sesiapa yang memerangi pasukan Ali, nescaya mereka adalah para pemberontak. Akan tetapi fakta sejarah mencatitkan bahawa ramai sahabat yang mengecualikan diri daripada Perang Siffin. Jika mereka memandang pasukan Muawiyah sebagai pemberontak, nescaya mereka tidak akan mengecualikan diri, malah tanpa lengah akan menyertai pasukan Ali. Sikap mereka yang mengecualikan diri menunjukkan mereka tidak memandang pasukan Muawiyah sebagai pihak yang memberontak. Perlu ditambah bahawa hadis yang meramalkan pembunuhan ‘Ammar bin Yasir oleh kelompok pembangkang adalah hadis mutawatir yang diriwayatkan oleh lebih daripada 20 orang sahabat. [Rujuk Qathf al-Azhar al-Mutanatsirah fi al-Akhbar al-Mutawatirah oleh al-Imam al-Suyuthi (911H) (al-Maktab al-Islami, Beirut, 1985), hadis no: 104]

2.      Amirul Mukminin Ali juga mengetahui bahawa ‘Ammar bin Yasir berada dalam pasukannya. Akan tetapi Ali mengakhiri Perang Siffin melalui perdamaian yang disebut sebagai peristiwa Tahkim. Seandainya Ali memandang Muawiyah sebagai pemberontak, nescaya beliau tidak akan melakukan apa-apa usaha perdamaian dengannya.

3.      Apabila terbunuhnya Amirul Mukminin Ali, jawatan khalifah diserahkan kepada anaknya, Hasan bin Ali radhiallahu 'anh. Tidak berapa lama selepas itu, Hasan menyerahkan jawatan khalifah kepada Muawiyah. Padahal Hasan juga mengetahui bahawa ‘Ammar bin Yasir telah terbunuh dalam Perang Siffin. Jika Hasan memandang Muawiyah sebagai pemberontak, nescaya beliau tidak akan menyerahkan jawatan khalifah kepada Muawiyah. Namun Hasan tetap menyerahkannya, menunjukkan beliau tidak memandang Muawiyah sebagai pemberontak.

Semua ini membawa kepada persoalan seterusnya, siapakah yang sebenarnya dimaksudkan sebagai “kelompok pemberontak”? Kelompok pemberontak tersebut bukanlah pasukan Muawiyah mahupun pasukan Amirul Mukminin Ali, akan tetapi adalah orang-orang yang pada asalnya menyebabkan berlakunya peperangan antara Muawiyah dan Ali. Mereka adalah kelompok pemberontak yang asalnya memberontak kepada Amirul Mukminin Usman ibn Affan sehingga akhirnya membunuh beliau. Diingatkan bahawa sekalipun pada zahirnya peperangan kelihatan berlaku di antara para sahabat, faktor yang menggerakkannya ialah para pemberontak yang asalnya terlibat dalam pembunuhan Usman.

Syaikh Mubih al-Din al-Khatib rahimahullah menjelaskan hakikat ini:

“Sesungguhnya orang yang membunuh orang Islam dengan tangan kaum Muslimin setelah terjadinya pembunuhan Usman, maka dosanya berada di atas para pembunuh Usman kerana mereka adalah pembuka pintu fitnah dan mereka yang menyalakan apinya dan mereka yang menipu sebahagian hati kaum muslimin dengan sebahagian yang lain. Maka sebagaimana mereka membunuh Usman maka mereka juga membunuh setiap orang yang mati selepas Usman, di antaranya seperti ‘Ammar dan orang yang lebih utama daripada ‘Ammar iaitu Thalhah dan al-Zubair, sehinggalah berakhirnya fitnah dengan terbunuhnya Ali.

……Segala sesuatu yang terjadi kerana fitnah maka yang menanggungnya adalah orang yang menyalakan apinya kerana merekalah penyebab yang pertama. Mereka itulah “kelompok pembangkang” yang membunuh, yang menyebabkan setiap pembunuhan dalam Perang Jamal dan Perang Siffin dan perpecahan yang berlaku selepas kedua-dua perang tersebut.” [catitan notakaki kepada al-‘Awashim min al-Qawashim, ms. 173]

Kebenaran tetap bersama pemimpin.
Sekalipun dikatakan bahawa Muawiyah bukan pemberontak, tidaklah bererti Muawiyah berada di pihak yang benar. Di dalam Islam, apabila wujud perbezaan pendapat antara pemimpin dan selain pemimpin, maka kebenaran terletak bersama pemimpin. Hendaklah mereka yang menyelisihi pemimpin tetap bersama pemimpin dan berbincang dengan beliau terhadap apa yang diperselisihkan. Di dalam peristiwa yang membawa kepada Perang Siffin, pemimpin saat itu ialah Amirul Mukminin Ali. Maka sikap yang lebih tepat bagi Muawiyah ialah tidak meletakkan syarat untuk membai‘ah Ali, sebaliknya terus membai‘ah beliau dan kemudian berbincang dengan beliau tentang cara terbaik untuk mengambil tindakan ke atas para pembunuh Amirul Mukminin Usman.

Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah menegaskan:

“Dan Muawiyah bukanlah daripada kalangan mereka yang memilih untuk memulakan perang, bahkan beliau daripada kalangan yang paling mengkehendaki agar tidak berlaku perang …… yang benar adalah tidak berlakunya peperangan. Meninggalkan peperangan adalah lebih baik bagi kedua-dua pihak. Tidaklah dalam peperangan tersebut (Perang Siffin, wujud satu) pihak yang benar. Akan tetapi Ali lebih mendekati kebenaran berbanding Muawiyah. Peperangan adalah peperangan kerana fitnah, tidak ada yang wajib dan tidak ada yang sunat dan meninggalkan perang adalah lebih baik bagi kedua-dua pihak. Hanya sahaja Ali adalah lebih benar. Dan ini merupakan pendapat (al-Imam) Ahmad dan kebanyakan ahli hadis dan kebanyakan para imam fiqh dan ini juga merupakan pendapat para tokoh sahabat dan tabi’in yang selalu mendapat kebaikan.” [Minhaj al-Sunnah, jld. 4, ms. 447-448]

Dipetik dari:
http://hafizfirdaus.com/ebook/HimpunanRisalah4/tajuk6.htm

Thursday, March 18, 2010

Pakaian Muslimah Bertaqwa

Pakaian Muslimah Bertaqwa

Oleh

Hafiz Firdaus Abdullah


Apabila ditanya kepada seorang aktivis wanita Islam ala Barat: “Kenapakah anda tidak memakai tudung?” Jawapan yang diberikan adalah: “Pakaian yang dituntut dalam Islam adalah taqwa!”, merujuk kepada ayat 26 surah al-A’raaf:

“Dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya.”

Memandangkan sifat taqwa letaknya pada rohani seseorang, maka apa yang dipakai pada jasmaninya tidak perlu dipersoalkan.

Kefahaman seperti ini memang merupakan asas kepada aliran Islam Liberal dalam bab berpakaian. Kita menjawab, benar bahawa sifat taqwa letaknya pada rohani seseorang. Akan tetapi bagi manusia, apa yang terletak pada rohaninya akan terpancar pada jasmaninya. Orang yang memiliki rohani yang bertaqwa akan terpancar pada jasmaninya sifat-sifat yang membuktikan ketaqwaan tersebut. Sebagai contoh, orang yang bertaqwa akan sentiasa mengeluarkan kata-kata yang tepat lagi benar, selari dengan ketaqwaannya. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:

“Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan katakanlah perkataan yang tepat lagi benar.” [al-Ahzab 33:70]


Demikian juga kaitannya antara rohani yang bertaqwa dan pakaian jasmani seorang muslimah. Ketaqwaan seorang muslimah akan menyebabkan jasmaninya terpancar dengan pakaian yang ciri-cirinya menepati perintah larangan Allah dan Rasul-Nya. Adapun pakaian yang belum menepati ciri-ciri tersebut, maka mungkin ia disebabkan oleh tahap ketaqwaan yang rendah. Mungkin juga, ia disebabkan kejahilan atau salah faham dalam mengetahui apakah ciri-ciri tersebut. Risalah ini insya-Allah akan memberi tumpuan kepada kemungkinan kedua. Kita mulakan dengan ciri-ciri yang pertama:

Ciri Pertama: Bukan merupakan pakaian yang meraih kemasyhuran.

Ciri pertama pakaian muslimah yang bertaqwa adalah pada tujuannya, iaitu ia tidak dipakai demi meraih kemasyhuran. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

“Sesiapa yang memakai pakaian demi kemasyhuran maka Allah

akan memakaikannya pada hari Kiamat yang semisal,

kemudian membakarnya di dalam pakaian tersebut dengan api neraka.”

[Diriwayatkan oleh Abu Daud dan dinilai hasan oleh al-Albani

di dalam Shahih Sunan Abu Daud – hadis no: 4029]

Tidak bertujuan meraih kemasyhuran bukanlah bermakna seorang muslimah tidak boleh memakai pakaian yang baru, kemas, berwarna dan indah. Ini kerana ukuran dalam ciri pertama ini ialah tujuan pemakaian dan bukan apa yang dipakai. Adakalanya seseorang itu turut mencari kemasyhuran dengan memakai pakaian yang buruk, robek dan kelihatan selekeh. Kemasyhuran yang dicarinya adalah mengharapkan pujian daripada orang ramai bahawa kononnya dia memiliki sifat zuhud. Ini juga adalah tujuan pemakaian yang dilarang. Diriwayatkan dalam sebuah hadis bahawa dilarang meraih dua bentuk kemasyhuran dalam berpakaian, yang pertama adalah memakai pakaian yang baik demi menarik perhatian orang atau keduniaan, yang kedua adalah memakai pakaian yang buruk demi menarik perhatian kepadanya. [Diriwayatkan oleh al-Baihaqi di dalam al-Sunan al-Kubra – hadis no: 6102 dengan sanad yang lemah, dikemukakan sebagai penjelas dalam bab ini]

Ciri Kedua: Tidak menyerupai pakaian kaum bukan Islam.

Kita umat Islam dilarang daripada menyerupai kaum bukan Islam dan ini termasuklah dalam ciri-ciri berpakaian. Abdullah bin Amr bin al-‘Ash radhiallahu 'anh berkata:

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam melihat saya memakai dua buah kain yang berwarna “Ushfur”, maka baginda bersabda: “Sesungguhnya ini adalah daripada pakaian orang-orang kafir maka janganlah memakainya.”

[Diriwayatkan oleh Muslim di dalam Shahihnya – hadis 2077].

Terdapat beberapa sebab mengapa Islam melarang umatnya daripada menyerupai kaum bukan Islam dalam apa jua bentuk penampilan jasmani:

1. Penampilan jasmani mencerminkan identiti seseorang, sekali gus mencerminkan apa yang dibanggakannya. Justeru itu kita jarang-jarang melihat orang bukan Islam ingin berpakaian seperti orang Islam, disebabkan kebanggaan mereka dalam memelihara identiti tersendiri dan pandangan mereka yang hina kepada Islam. Sebaliknya kita melihat orang Islam suka berpakaian seperti orang bukan Islam, malah berbangga-bangga dengan pakaian tersebut. Ini amat menggembirakan orang bukan Islam kerana ia menandakan betapa umat Islam memandang hina terhadap diri sendiri dan mencari kemuliaan di sisi mereka.

2. Penampilan jasmani adalah salah satu faktor yang menjalin perhubungan di antara dua orang yang saling tidak berkenalan. Contohnya dua orang polis daripada lokasi yang berlainan, apabila berjumpa di satu tempat akan saling menegur. Faktor yang menggerakkan perhubungan antara mereka adalah pakaian seragam yang hampir mirip. Demikian juga, apabila dua orang muslimah yang tidak saling mengenali berjumpa, faktor yang akan menghubungkan mereka adalah pakaian bercirikan Islam yang mereka kenakan.

3. Penampilan jasmani mencerminkan kecenderungan hati kepada apa yang diminati dan dikasihinya. Orang yang minat kepada pasukan bolasepak pilihannya akan gemar untuk memakai baju jersi pasukan tersebut. Orang yang kasih kepada penyanyi tertentu akan berusaha untuk berfesyen sebagaimana penyanyi tersebut. Demikian juga, seorang muslimah yang cenderung kepada orang bukan Islam akan cenderung untuk berpakaian seperti mereka. Kecenderungan seperti ini adalah sesuatu yang dilarang oleh Islam kerana Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah berfirman:

“Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, tergamak berkasih-mesra dengan orang-orang yang menentang Allah dan Rasul-Nya.”[al-Mujadilah 58:22]

4. Penampilan jasmani adalah salah satu faktor yang mempengaruhi akhlak dan perbuatan. Contohnya, orang yang mengenakan pakaian para ahli ilmu akan memiliki kecenderungan untuk berakhlak dan bertindak sebagai seorang ilmuan. Orang yang mengenakan pakaian ketenteraan akan memiliki kecenderungan untuk berakhlak dan bertindak sebagai seorang tentera. Demikian juga, seorang muslimah yang mengenakan pakaian orang bukan Islam akan memiliki kecenderungan untuk berakhlak dan bertindak seperti orang bukan Islam. Ini akhirnya akan menjerumuskan dirinya ke dalam akhlak dan perbuatan yang lazim dilakukan oleh orang bukan Islam yang sebenarnya haram di sisi Islam.

Oleh itu hendaklah seorang muslimah berusaha menjauhkan diri daripada berpenampilan seperti orang bukan Islam. Dalam suasana globalisasi sekarang ini, perintah ini adakalanya sukar untuk dilaksanakan sepenuhnya. Maka laksanakanlah sekadar mampu, lakukanlah perbezaan sekalipun dengan kadar yang minima.

Ciri Ketiga: Tidak menyerupai kaum lelaki.

Selain daripada pakaian yang tidak menyerupai orang bukan Islam, seorang muslimah juga dituntut untuk berpakaian yang tidak menyerupai kaum lelaki. ‘Abd Allah ibn ‘Abbas radhiallahu 'anh berkata:

“Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam melaknat lelaki yang menyerupai wanita

dan wanita yang menyerupai lelaki.”

[Diriwayatkan oleh al-Bukhari di dalam Shahihnya – hadis no: 5885]

Hikmah larangan adalah kerana pakaian merupakan salah satu faktor yang mempengaruhi akhlak dan perbuatan seseorang. Apabila seorang muslimah berpakaian seperti lelaki, dia akan cenderung untuk berakhlak dan bertindak sebagai seorang lelaki. Ini akan menyebabkan berlakunya kesongsangan dalam peranan dan tanggungjawab antara lelaki dan wanita. Lebih dari itu, sebahagian daripada peranan kaum lelaki adalah tidak sesuai dengan fizikal kaum wanita sehingga akhirnya menimbulkan mudarat kepadanya.

Ciri Keempat: Tidak jarang kainnya.

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah bersabda:

“Pada akhir umatku nanti akan ada wanita yang berpakaian tetapi sebenarnya telanjang.” [Diriwayatkan al-Thabarani dan sanadnya dinilai sahih oleh al-Albani di dalam Jilbab al-Mar’ah al-Muslimah fi al-Kitab wa al-Sunnah

(Dar al-Salam, 2002), ms. 125]

Maksud Rasulullah dalam hadisnya di atas adalah wanita yang mengenakan pakaian yang jarang kainnya sehingga menampakkan tubuh badan mereka di sebaliknya. Justeru sekalipun mereka berpakaian, mereka sebenarnya tetap telanjang. Oleh itu dalam memilih sesuatu pakaian, hendaklah diperhatikan agar kainnya tidak jarang atau nipis.

Ciri Kelima: Tidak menampakkan bentuk badan.

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah memberikan sehelai pakaian Quthbiyah yang tebal kepada sahabatnya, Usamah bin Zaid radhiallahu 'anh. Usamah kemudiannya memakaikannya kepada isterinya. Melihat yang sedemikian, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berpesan kepada beliau:

“Suruhlah beliau memakai baju dalam di sebaliknya kerana aku bimbang ia menggambarkan bentuk tulangnya.”

[Diriwayatkan oleh Ahmad dan al-Baihaqi, sanadnya dinilai hasan oleh al-Albani di dalamal-Tsamar al-Mustathab fi Fiqh al-Sunnah wa al-Kitab (Muassasah Ghiras, Kuwait, 1422H), jld. 1, ms. 318]

Perhatikan bahawa sekalipun pakaian Qubthiyah adalah tebal, Rasulullah tetap menyuruh agar dipakai baju dalam di sebaliknya. Hal ini mungkin disebabkan oleh saiz badan isteri Usamah yang besar atau sifat pakaian Quthbiyah yang mudah melentur mengikuti bentuk badan orang yang memakainya. Berdasarkan hadis ini, hendaklah seorang muslimah mengenakan pakaian yang dapat menghindari daripada menampakkan bentuk badannya semampu mungkin, seperti memakai baju dalam, baju tambahan di luar, pakaian yang longgar atau pakaian yang diperbuat daripada kain yang tidak mudah mengikut bentuk badan.

Ciri Keenam: Tidak mengenakan wangian pada pakaian.

Dilarang bagi seorang muslimah untuk sengaja memakai wangi-wangian agar dapat dihidu oleh kaum lelaki. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

“Sesiapapun wanita yang memakai wangian lalu dia melintas

di hadapan lelaki supaya mereka dapat menghidu kewangiannya,

dia adalah penzina.” [Diriwayatkan oleh al-Nasai dan dinilai hasan oleh al-Albani di dalam Shahih Sunan al-Nasai – hadis no: 5141]

Larangan ini tidak membezakan sama ada wangian tersebut dikenakan di atas badan atau pakaian. Dikatakan “penzina” adalah kerana wangi-wangian yang dikenakan oleh wanita adalah salah satu faktor yang menaikkan berahi kaum lelaki sehingga akhirnya menyebabkan perzinaan, sama ada secara rela atau paksa. Walaubagaimanapun hadis ini tidaklah melarang seorang muslimah daripada menjaga dirinya daripada berbau busuk. Oleh itu dibolehkan, malah dianjurkan, untuk menjaga keharuman diri dengan sabun mandian atau semburan badan yang bersifat menahan peluh (anti perspirant) atau bau busuk (deodorant).

Ciri Ketujuh: Menutupi tubuh badan kecuali apa yang zahir.

Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:

"Dan katakanlah kepada wanita-wanita yang beiman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka;

dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya

dengan tudung kepala mereka."

[an-Nur 24:31]

Terdapat beberapa penjelasan yang penting daripada ayat di atas:

Pertama:

Firman Allah: “…katakanlah…” bukanlah bererti ia adalah satu suruhan yang sunat atau ringan hukumnya, tetapi suruhan yang membawa kepada perintah wajib. Ini sebagaimana firman Allah: “Katakanlah: (Tuhanku) ialah Allah Yang Satu.” [al-Ikhlas 112:1]. Ayat ini tidaklah bererti mengesakan Allah sebagai Tuhan yang Satu adalah sunat kerana mengesakan Allah sebagai Tuhan yang Satu adalah kewajipan agama yang paling asas.

Kedua:

Firman Allah: “…kepada wanita-wanita yang beriman…” menunjukkan bahawa perintah ini ditujukan kepada semua wanita beriman tanpa membezakan tempat dan zaman. Ini membatalkan dakwaan Islam Liberal yang menganggap pakaian yang menutupi badan hanya untuk wanita yang hidup 1400 tahun yang lalu di padang pasir.

Ketiga:

Firman Allah: “…janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka…” adalah satu larangan yang bersifat umum, bererti seorang muslimah dilarang daripada memperlihatkan tubuh badan mereka. Ini kerana tubuh badan wanita adalah satu “perhiasan” yang istimewa dan apa jua perhiasan yang memiliki nilai yang tinggi maka lazimnya ia tertutup demi memelihara keistimewaannya. Perhatikan bagaimana emas dan berlian tertutup di bawah tanah, mutiara tertutup dalam cengkerangnya di dalam lautan dan minyak tertutup di dalam lapisan bumi. Perhatikan juga bahawa di antara deria-deria manusia seperti mata, telinga dan hidung, hanya mata yang memiliki kelopak yang menutupinya manakala deria lain dibiarkan terdedah. Ini tidak lain menunjukkan bahawa mata adalah deria yang paling istimewa sehingga perlu ditutupi.

Selain itu seorang muslimah yang “menutup perhiasan” badannya akan mudah dikenali sebagai wanita yang baik dan lebih terpelihara daripada gangguan orang lain. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:

“Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu

serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya

bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun,

lagi Maha Mengasihani.” [al-Ahzab 33:59]

Keempat:

Keumuman larangan di atas telah diberikan pengecualian, iaitu dengan firman Allah: “…kecuali yang zahir daripadanya.” Terdapat dua kefahaman di kalangan para ilmuan Islam tentang apa yang dimaksudkan dengan pengecualian di atas:

1. Yang dimaksudkan dengan “zahir” adalah bentuk badan seorang wanita dimana sekalipun dengan pakaian yang menutupi keseluruhan badan dan muka, seorang wanita tetap dapat dikenali disebabkan oleh susuk badan mereka. Maka ini dikecualikan kerana ia adalah sesuatu yang memang sukar untuk dielakkan. Berdasarkan kefahaman ini, ayat 31 surah al-Nisaa’ dijadikan dalil bahawa seorang muslimah wajib menutupi seluruh badannya termasuk muka.

2. Yang dimaksudkan dengan “zahir” adalah apa yang kelihatan daripada beberapa anggota yang lazimnya terdedah bagi membolehkan seorang muslimah melaksanakan tugasnya yang ditetapkan oleh syari‘at Islam. Anggota tersebut ialah muka dan tangan di bawah pergelangannya. Sebahagian lain menambah bahagian di bawah buku lali kakinya. Berdasarkan kefahaman ini, ayat 31 surah al-Nur juga dijadikan dalil bahawa seorang muslimah wajib menutupi seluruh badannya kecuali apa yang perlu untuk tugasnya yang ditetapkan oleh syari‘at.

Sekalipun terdapat dua kefahaman, wilayah perbezaan di antara kedua-duanya adalah amat kecil. Kedua-dua pihak memiliki hujah dan di sini penulis mengambil sikap berlapang dengan berkata bahawa kedua-duanya adalah benar. Seorang muslimah boleh memilih salah satu daripada pendapat tersebut. Pada waktu yang sama hendaklah dia menghormati muslimah lain yang memilih pendapat yang berbeza daripadanya.

Kelima:

Sebelum turunnya ayat 31 surah al-Nur, sebahagian wanita pada zaman tersebut ada yang memakai tudung kepala. Akan tetapi tudung tersebut dilepaskan ke belakang badan mereka. Maka Allah membetulkan cara pakaian tersebut dengan firman-Nya: “…hendaklah mereka menutup dada dengan tudung kepala mereka”, yakni hendaklah ia dilepaskan ke hadapan badan mereka. Tidak sekadar itu, ia juga hendaklah dilabuhkan sehingga menutupi ke bawah dada mereka.

Demikian tujuh ciri-ciri pakaian bagi seorang muslimah yang bertaqwa. Sekali lagi ditegaskan bahawa taqwa adalah kedudukan rohani yang dibuktikan melalui perbuatan jasmani dan ciri-ciri berpakaian tidak terlepas daripada pembuktian ini. Pembuktian tersebut hendaklah secara bersungguh-sungguh sebagaimana pesan Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

"Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa." [Ali Imran 3:102]

Walaubagaimana jika seorang muslimah mengalami kesukaran atau terhimpit dalam satu suasana yang menyukarkan, hendaklah dia berusaha sekadar termampu kerana Allah yang Maha Pengasih dan Maha Pengampun juga telah berfirman:

“Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu.”

[al-Taghabun 64:16]

Terpenting, membaca ayat: “Dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya” sebagai alasan untuk tidak bertudung bukanlah ciri-ciri seorang muslimah yang bertaqwa kepada Allah dengan sebenar-benarnya, mahupun bertaqwa kepada Allah dengan sedaya upaya. Ia hanyalah ciri-ciri seorang wanita yang bertaqwa kepada hawa nafsunya.